Deklarasi Kuala Lumpur Mengenai Penubuhan Komuniti ASEAN itu telah ditandatangani oleh kesemua 10 pemimpin tertinggi ASEAN diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Pengerusi ASEAN.
Kesemua pemimpin turut menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur Mengenai ASEAN 2025: Bersama Melangkah Ke Hadapan yang merupakan satu set dokumen mengenai laluan serta pelan tindakan bagi pembinaan Komuniti ASEAN untuk 10 tahun akan datang.
Najib berkata, Komuniti ASEAN yang akan dilancarkan bermula 31 Disember depan berteraskan kepada tiga tunjang utama untuk dikongsi setiap negara anggota iaitu Komuniti Politik Keselamatan ASEAN (APSC), Komunti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) dan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
Katanya, penubuhan tersebut merupakan langkah penting dalam mencorak perkembangan rantau itu yang dijangka mencatatkan nilai gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM20.1 trilion menjelang 2020 dan yang keempat terbesar pada 2030.
“Sebelum ini kita sudah memansuhkan halangan tarif di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) yang menjadikan industri perkilangan lebih kompetetif dalam pasaran global dan mengurangkan kos.
“Sekarang kita perlu memastikan penubuhan satu pasaran tunggal sebenar untuk industri berasaskan pengeluaran dengan adanya pergerakan barangan dan perkhidmatan yang lebih bebas.
“Dengan itu, pasaran akan lebih berhubung dan dapat menghapuskan semua halangan yang membantutkan perkembangan serta pelaburan, ini semua adalah keutamaan kita untuk dilaksanakan,” katanya ketika berucap sebelum majlis menandatangani deklarasi itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
Yang turut hadir pada majlis tersebut adalah Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki Moon; Setiausaha Agung ASEAN, Le Luong Minh dan Perdana Menteri India, Narendra Modi dan wakil-wakil dari beberapa negara.
Komuniti ASEAN yang menghubungkan 633 juta rakyat di 10 negara itu akan memberi fokus kepada kerjasama lebih erat antara kerajaan dan rakyatnya dengan penekanan kepada tiga tonggak utama, iaitu kerjasama politik dan keselamatan, ekonomi serta sosiobudaya.
Usaha pembentukan komuniti itu sebenarnya bukanlah suatu kerja mudah kerana telah dimulakan sejak Oktober 2003 apabila kesemua anggota ASEAN menerima Deklarasi ASEAN Concord 11 untuk menubuhkan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) sebagai permulaan.
Menurut Perdana Menteri, setiap pemimpin berperanan menjadikan penubuhan Komuniti ASEAN bukan sahaja atas tanggapan semata-mata, tetapi pelaksanaannya mestilah mewujudkan satu ikatan dan dapat dirasai oleh masyarakat ASEAN.
“Ini akan menjadikan komuniti kita satu realiti. Inilah hasil daripada usaha pemimpin dan rakyat ASEAN, kerana tanpa bantuan ini kita tidak akan mencapai sejarah baharu. Sekarang kita telah meningkatkan lagi penanda aras jangkaan rakyat kita. Kita bertanggungjawab mencapai aspirasi generasi muda sekarang dan generasi akan datang,” katanya.